Sunday 25 January 2015

Kontroversi bercium mulut

Masa terus saja berputar mempamerkan perubahan pada jasad dan kedewasaan Aliff Aziz, 17. Dahulu dia dilihat comel membawakan lagu Sayang Sayang yang masih membiaskan jiwa keanak-anakannya. Malah ketika itu ramai peminatnya terdiri daripada golongan cilik.

Senyap seketika selepas meledak dengan single pertama album debutnya, nama Alif kembali hangat. Kali ini bukan dengan lagu baru tetapi lebih kepada menghancurkan hati peminat berikutan tersebarnya foto-foto kurang enak dia dengan seorang gadis. Di dalam gambar itu, mereka berpelukan dan berciuman di tempat awam dengan bebas sekali.

Itu pasti sahaja merobek sedikit perasaan hormat para peminat penyanyi kelahiran Singapura ini.

Aliff tersenyum dan menyapa saat ditemui pada pelancaran Celebrity Kopitiam milik Ajai di Kota Damansara, Petaling Jaya minggu ini. Dia sudah tahu apa yang bakal dihadapinya. Dia juga sudah membuat permohonan maaf atas pelakuannya itu.

Kini dia berdiri dengan segala kekuatan untuk menebus semula kesalahannya dan menjalani kehidupan dengan lebih berhati-hati.

Jujur saya katakan saya berani berhadapan dengan semua ini dan meminta maaf atas silap langkah saya. Tidak ada guna saya berdalih kerana ia jelas salah saya.

Memang saya cukup menjadi lelaki sebenar dengan mengiakan itu semua salah saya, ujarnya yang kini berulang-alik dari Singapura ke Malaysia untuk pembikinan album kedua yang dirancang diedarkan Disember ini.


MENGAKUI dirinya masih remaja, Aliff menafikan dia cuba menjadi lebih dewasa.

Bukan untuk melangkau kematangannya atau berlagak menjadi dewasa lebih awal, tetapi segala yang dilalui dianggap sebagai salah satu fasa perjalanan hidupnya.

Saya akui saya masih remaja dan hidup dalam alam itu. Saya bukan cuba-cuba untuk menjadi lebih dewasa. Bezanya saya remaja yang menjadi selebriti.

Bila menjadi selebriti, semua mata tertumpu kepada kita. Saya juga sedar khalayak lebih prihatin dengan cerita negatif artis, ujar remaja yang berketinggian 190 sentimeter ini.

Mendapat sokongan penuh daripada famili yang pada awalnya terkejut dengan tingkah laku liar Aliff, mereka sekarang sudah mengerti perjalanan seni Aliff memang bergelut dengan banyak perkara selain perkembangan seni.

Saya turut mendapat teguran daripada mak cik-mak cik yang merupakan peminat saya. Saya minta maaf kepada mereka, hanya itu yang mampu saya buat.

Malah saya berjanji perkara sebegitu tidak akan berulang lagi, ucapnya kesal dan berazam untuk lebih sensitif terhadap setiap perbuatannya pada masa depan.

Berubah daripada alam persekolahan ke dunia yang lebih mencabar, cabaran pertama yang perlu dilaluinya adalah Khidmat Negara Singapura yang dijangka bermula Disember ini.


GAMBAR ‘sosial’ Aliff yang bertebaran di Internet.

Mengejar waktu sebelum dia memasuki alam berambut botak dan latihan ala tentera itu, Aliff bekerja keras untuk melawan waktu bagi menyiapkan album keduanya yang turut menunjukkan perubahan demi perubahan jiwanya. Keutamaannya kini adalah menyiapkan album sebelum dia menyertai program wajib tersebut.



Single pertama yang dipertaruhkan berjudul Cinta. Sekarang saya masih dalam proses merakamkan lagu-lagu yang lain dan baru habis empat lagu.

Melihat kelainan album ini, saya boleh katakan perbezaannya ketara dari segi genre yang dipilih dan ditonjolkan. Saya meletakkan cinta dan semua yang saya suka ke dalam album ini.

musik dan bunyi album ini berlainan. Juga dimasukkan elemen dance yang membuatkan saya lebih banyak menari, ujarnya teruja dengan kemunculan album edaran Sony Music ini.


0 komentar:

Post a Comment